Monday, 5 August 2013

ADIK AISYAH DI CULIK KEKASIH IBU??

Adik Aisyah diculik kekasih ibu kerana masalah hubungan cinta?

Kanak-kanak berumur tiga tahun, Aisyah Wan Exsan, yang dilaporkan hilang di Rawang Selasa lalu, telah ditemui di Teluk Bahang, Pulau Pinang, hari ini.

Beberapa blog dan laman Facebook menunjukkan gambar kanak-kanak itu sedang didukung oleh seorang anggota polis.

Bagaimanapun, laporan terkini mengenai penemuan kanak-kanak itu masih belum diberikan oleh pihak polis.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah memberitahu pemberita, ibu Aisyah, Arbaiyah Md Zin melaporkan anaknya diculik di sebuah pusat membeli-belah di Rawang.

Guru matematik itu didakwa bertemu dengan penculik terbabit menerusi laman sosial Facebook pada Mei lalu dan menjalin hubungan dengan suspek serta merancang untuk berkahwin.

Walaupun hanya mengenali lelaki berkenaan selama beberapa minggu, Arbaiyah, berusia lewat 30-an, meninggalkan anak perempuannya itu di bawah jagaan suspek pada 30 Julai.

Suspek memberitahu Arbaiyah bahawa dia ingin memperkenalkan Aisyah kepada kakaknya.

Ibu kanak-kanak itu turut memberikan suspek sijil kelahiran Aisyah kerana mereka berdua merancang untuk pergi berbulan madu bersama kanak-kanak itu selepas mereka berkahwin.

"Pada 2 Ogos, Arbaiyah turut memberi wang tunai RM25,000 kepada lelaki berkenaan untuk pelaburan perniagaan emas di sebuah pusat membeli-belah di Rawang.

"Keesokan harinya, Arbaiyah menunggu suspek untuk membawa Aisyah pulang ke rumah. Suspek berjanji untuk membawanya keluar dan membeli barang keperluan perkahwinan mereka. Namun suspek tidak muncul dan panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab," kata Rahim.

Beliau berkata ibu mangsa turut pergi ke rumah suspek di Taman Tun Dr Ismail dalam usaha mencari anak perempuannya itu tetapi alamat rumah berkenaan milik orang lain.

Kes itu diklasifikasikan polis sebagai penculikan kanak-kanak.

Rahim berkata siasatan masih dijalankan dan menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu sehingga maklumat lanjut diketahui.

Sementara itu, #findaisyah tersebar pantas di laman Twitter dengan pengguna Internet seluruh negara menggunakan medium berkenaan untuk mencari kanak-kanak itu selepas berita penculikannya disebarkan dalam laman media sosial awal pagi tadi.

No comments:

Post a Comment